SABTU, 27 FEBRUARI 2016 @ 3:06 PM
Post Image1

Tiada komunikasi di benteng punca Kelantan terlepas mata

KOTA BAHARU: Barisan pertahanan yang 'bisu' manakala jentera penggempur yang tumpul jelas meresahkan jurulatih Kelantan, K Devan selepas seri 2-2 dengan Sarawak dalam aksi Liga Super semalam.

Kegagalan benteng pertahanan Kelantan berkomunikasi dengan baik sesama mereka menyaksikan pasukan itu sekadar mengutip satu mata di gelanggang sendiri, Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.

Devan berkata, benteng pertahanan yang terdiri daripada Muslim Ahmad, Nik Shahrul Azim Abd Halim, Jonathan Mc Kain dan Mohd Noor Hazrul Mustapha, longgar dan ia memberi peluang kepada pasukan lawan menyumbat dua gol.

Sebelum ini, gawang Kelantan kebal daripada dibolosi dalam tiga perlawanan awal termasuk satu di saingan Piala FA.

"Saya rasa pertahanan kami tidak berkomunikasi sepenuhnya antara satu sama lain, pemain seperti tidak bercakap sesama mereka.

Jaringan pertama Sarawak mudah dihasilkan pada awal permainan dan gol kedua lawan pula hasil perebutan pertahanan kami sendiri," katanya kepada pemberita di sini.

Sarawak mendahului seawal minit kelapan menerusi Makeche Ndumba yang kemudian turut menyumbang gol penyamaan pada minit ke-71 selepas Kelantan bangkit dengan dua gol dari Baze Ilijoski pada minit ke-43 dan 63.

Jentera penggempur yang terdiri daripada Wan Zack Haikal Wan Nor, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria, Dramane Traore serta Baza Illijoski turut tidak terlepas daripada kecaman Devan.

"Kita sepatutnya mendapat kemenangan dengan jaringan yang banyak kerana pemain telah menghasilkan banyak peluang namun penyerang kita tidak tukar peluang itu menjadikan gol," katanya.

Devan mengakui masalah di posisi pertahanan dan penyerang itu perlu diatasi segera bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

Sementara itu, pengendali Sarawak Datuk K Rajagobal berkata, beliau gembira pasukannya mendapat mata pertama selepas mengharungi tiga perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini.

"Kami sebenarnya datang dengan keyakinan untuk menang walaupun kita tahu bermain di Kelantan, bukannya mudah.

"Satu mata yang dihasilkan daripada kesilapan pertahanan Kelantan pada awal permainan dan di penghujung permainan, bagaimanapun agak melegakan tapi kami perlu meningkat permainan bagi mengharungi musim yang masih panjang," katanya. - BERNAMA