JUMAAT, 11 MAC 2016 @ 10:04 PM
Post Image1

Kelantan turun tanpa 2 tonggak jumpa Pulau Pinang

KOTA BAHARU: Kelantan terpaksa melupakan khidmat Mohd Daudsu Jamaluddin dan Wan Zack Haikal Wan Noor untuk perlawanan menentang Pulau Pinang dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, esok. Ketua jurulatih Kelantan, K Devan berkata pemain pertahanan, Daudsu dan Wan Zack Haikal yang juga pemain tengah masih dibelenggu kecederaan.

KETUA jurulatih Kelantan, K Devan. - Foto Syamsi Suhaimi "Daudsu cedera di otot paha sewaktu menentang Kedah dalam Piala FA tempoh hari manakala Wan Zack Haikal juga cedera di paha sewaktu sesi latihan di sini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Devan bagaimanapun berkata Kelantan masih mempunyai pemain seperti Mohd Noor Hazrul Mohd Mustafa, Zairul Fitree Ishak dan Qayyum Morjoni Sabil bagi memperkukuhkan benteng pertahanan pasukan. Katanya, ketiadaan Wan Zack Haikal juga tidak akan merencatkan pasukan kerana masih mempunyai pemain gantian yang mampu menggalas tugas dalam mencari kemenangan di gelanggang sendiri.

"Saya mempunyai perancangan untuk melakukan sesuatu bagi membolehkan pasukan mendapat tiga mata ketika bermain di laman sendiri esok," katanya. Mengulas kekuatan Pulau Pinang, Devan mengakui lawan itu mempunyai kekuatan di bahagian tengah dan pertahanan.

"Pulau Pinang juga mempunyai kelebihan tersendiri dalam situasi set piece. Pemain Kelantan perlu mengelak daripada memberikan sepakan percuma yang sia-sia terutama di depan pintu gol. "Selain itu, pemain juga perlu kemas bertahan dan tidak melakukan kesilapan dalam kawasan sendiri," katanya.

Beliau berkata pemain seperti Mohd Faiz Subri yang menjaringkan gol sehingga mendapat perhatian di seluruh dunia baru-baru ini, memiliki teknik dan kepakaran tinggi dalam sepakan percuma. - BERNAMA