JUMAAT, 11 MAC 2016 @ 10:04 PM
Post Image1

Kelantan hambar bukan kerana tangan ghaib - Annuar

KOTA BHARU: Permainan hambar skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQP-TRW) dalam saingan Liga Super sejak kebelakangan ini bukan berpunca daripada 'tangan ghaib', sebaliknya disebabkan oleh sikap pemain sendiri.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata tangan ghaib yang didakwa wujud oleh seorang pemain pasukan itu hanya untuk mencari alasan atas kehambaran permainan ditunjukkan.

"Jika buat kenyataan secara umum, ia tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya perlu menggunakan saluran yang boleh dipercayai. Jika ada masalah bagi tahu saya.

"Kita boleh bincang dan membaiki prestasi dan perlu bermain dengan betul. Jika ada (tangan ghaib) kita akan ambil tindakan," katanya selepas Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Biaw Kampung Tokong di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan semalam berhubung dakwaan seorang pemain yang mendedahkan ada 'tangan ghaib' mencampuri urusan pentadbiran skuad PQP-TRW sehingga menyebabkan pemain lain tidak selesa dan menjadi punca kepada persembahan hambar dipamerkan sepanjang kempen Liga Super setakat ini.

Pemain yang enggan namanya didedahkan itu mendakwa, kelemahan berkenaan berlaku apabila wujudnya campur tangan individu yang tidak berkelayakan dalam pengurusan pasukan Kelantan.

Mengulas lanjut Annuar berkata, prestasi pemain tidak memuaskan boleh diperbaiki supaya menjadi lebih baik.

Katanya, semua pemain bukan beliau yang pilih, sebaliknya oleh jurulatih pasukan mengikut kriteria dikehendaki.

"Jika skuad kalah, kita tidak boleh mengamuk dan nak buang pemain kerana ia ada cara tertentu. Begitu juga dengan jurulatih perlu mengikut cara yang betul," katanya.

Pada masa sama, Annuar berkata, hutang 30 pemain Kelantan yang berjumlah RM2 juta akan diselesaikan menjelang akhir tahun ini.

"Hutang itu membabitkan tempoh dua bulan dan kita akan mencari jalan untuk selesaikan," katanya.