RABU, 24 FEBRUARI 2016 @ 4:20 PM
Post Image1

Kedudukan K Devan tidak tergugat - Annuar

JOHOR BAHRU: Kedudukan K Devan selaku pengendali Kelantan tidak terjejas dan beliau boleh menjalankan tugas seperti biasa mengemudi pasukan itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan sama ada mahu menyingkirkan pengendali pasukan itu.

Katanya, peminat tidak perlu panik kerana sehingga kini skuad Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PDPTRW) masih bermain dengan baik dan belum dibolosi sebarang jaringan.

"Setiap orang berhak menyuarakan pandangan dan Datuk Seri Dr Hasmiza Othman bukan sahaja penaja utama, tetapi seorang penyokong lama pasukan ini dan sering mengikuti saya menonton perlawanan.

"Sebagai penaja dan peminat beliau boleh menyuarakan pandangan, namun jangan panik kerana K Devan menjalankan tugas dengan baik sehingga kini. Masih terlalu awal lagi dan beliau ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri pertemuan tertutup dengan Badan Perhubungan UMNO Johor di sini, hari ini.

Semalam, BH Online melaporkan kedudukan K Devan selaku pengendali Kelantan seharusnya semakin 'panas' berikutan penaja utama skuad itu, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida sudah mempersoalkan mengenai prestasi semasa jaguh Pantai Timur itu.

Ia susulan skuad PDPTRW dilihat masih gagal mencapai sasaran dan harapan tinggi Dr Vida dan seluruh penyokong yang diletakkan ke atas bahu Devan dan anak buahnya.

Tindakan beliau yang memuat naik gambar bekas jurulatih Kelantan, Bojan Hodak di Instagram miliknya yang dipetik daripada Facebook penyokong juga mencetuskan tanda tanya buat seluruh peminat PQPTRW.