28 FEBRUARI 2016
Post Image1

Kecewa kongsi mata

K DEVAN tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas pasukannya dipaksa berkongsi mata dengan Sarawak dalam aksi tunggal Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Ketua Jurulatih Kelantan itu berkata, pasukannya sepatutnya meraih kemenangan ke atas skuad kendalian Datuk K Rajagobal berdasarkan deretan peluang yang dicipta anak buahnya selain turut mendominasi sebahagian besar perlawanan itu.

“Ya, saya kecewa dengan keputusan malam ini (kelmarin) kerana kami hilang dua mata penting. Saya rasa Kelantan boleh menang tetapi jentera penyudah sekali lagi bermasalah, peluang yang kita cipta tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

“Sebaliknya, kami memberi dua gol mudah kepada Sarawak. Semuanya berpunca daripada kesilapan bahagian pertahanan sendiri,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu, Makeche Ndumba meletakkan Sarawak di depan seawal minit kelapan namun Blazhe Ilijoski memastikan Kelantan mendahului 2-1 (m-43 dan 64) sebelum pelawat menyamakan kedudukan menerusi Ndumba sekali lagi (m-72).

Devan turut menyifatkan kegagalan benteng pertahanan membentuk komunikasi baik menyebabkan pelawat memperoleh dua gol sekali gus meleburkan impian pasukannya meraih tiga mata dalam perlawanan itu.

“Gol pertama Sarawak itu, saya rasa 30 hingga 70 peratus tidak sepatutnya terhasil daripada lontaran ke dalam Ronny (Harun). Jaringan kedua mereka juga, saya nampak datang daripada kesilapan pertahanan kita,” katanya.

Dalam masa sama, pengendali berusia 54 tahun itu turut meluahkan kecewa dengan prestasi kurang bermaya penyerang importnya, Dramane Troare sehingga bertindak mengeluarkan bekas penjaring terbanyak Liga Super itu, pada awal babak kedua.

“Saya tengok pergerakan dia terbatas, impak kehadirannya di bahagian serangan tidak menjadi, sebab itu saya terpaksa mengeluarkannya. Dia beraksi dengan baik ketika bertemu Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi tidak pada malam ini (kelmarin),” katanya.

Sehubungan itu, Devan turut membayangkan beliau akan bersemuka dengan Troare dalam masa terdekat bagi merungkaikan segala masalah yang menyelubungi bekas penyerang skuad kebangsaan Mali itu.

“Mungkin saya kena duduk berbincang dengan dia. Nampak masih belum ada keserasian di antara dia dengan bahagian tengah. Inilah masalahnya orang tak nampak, apabila kita guna dua penyerang, ruang yang ada untuk kedua-dua pemain itu bergerak bebas semakin kurang,” katanya.